:: Jom Kita Berkeluarga Hingga Ke Syurga! :: Terima Kasih kerana sudi berkunjung ke Teratak Mawaddah :: Hingga Jumpa Lagi ::

Friday, August 07, 2009

- warkah buat anak ummi (2) -


Assalamu'alaikum anak ummi yang sangat ummi sayang lagi ummi rindu. Anak ummi apa khabar hari ni? Sihat-sihat kan? Ini kali kedua warkah ummi menjengah ruang peribadi anak ummi :) Ummi rindu sangat nak menulis warkah ni...dah beberapa kali asyik tertangguh. Alhamdulillah, ummi mencuri-curi sedikit waktu yang ada ni untuk menulis warkah yang sangat ummi rindu.

Anak ummi...

Terlalu banyak yang ummi nak coretkan di sini. Bermacam-macam peristiwa yang berlaku, yang menceriakan hari-hari ummi...juga sedikit-sebanyak mencarik sekeping hati ummi ni. Ummi rasa, anak ummi tentu dapat sama merasai suka duka ummi, kan sayang?

Oh ya, Pak Long dan Mak Long juga Kak Aisyah dah pulang ke Johor semula. Tak silap ummi dah hampir 3 minggu. Insya-Allah mereka akan pulang ke sini semula sebelum Syawal menjelma. Seronoknya ummi, apatah lagi Tok Bah dan Tok Mi :) Maklumlah, tahun pertama beraya bersama cucunda tercinta. InsyaAllah, raya kedua ni Tok Sue akan menjadi pengantin baru...


Anak ummi...

Minggu lepas ummi check-up kat Klinik Mardhiah. Alhamdulillah, anak ummi ni sihat :) Laju jantung anak ummi ni bergerak ya? Cumanya...berat ummi naik mendadak..3.5kg bulan ni. Berat ummi sekarang 59kg. Dua minggu lagi ummi akan datang buat check-up, doktor kata kalau berta naik mendadak lagi doktor akan check sama ada ummi ni ada kencing manis atau tak. Kalau ada, ummi kena pergi hospital. Lagipula, tekanan darah ummi agak tinggi minggu lepas. Doktor kata mungkin ummi ni kurang tidur. Memang betul pun ummi kurang tidur. Ummi pun dah 4 hari buat carta gerakan baby ni. Sekarang ni ummi perasan yang anak ummi ni aktif waktu malam. Erm, mesti baby tahu waktu siang ummi kerja...jadi tak boleh gerak terlalu aktif. Nanti ummi tak dapat nak buat kerja...kan sayang? Pandainya anak ummi ni...

Anak ummi sayang...

Kaki ummi ni semakin membengkak. Sakit sungguh waktu berjalan dan solat. Adakala ummi solat sambil duduk, terutama kalau imam di surau tu baca surah yang panjang. Macam kelmarin masa sambutan nisfu Syaaban di surau, Solat Maghrib dan Solat Sunat ummi masih boleh tahan solat sambil berdiri. Tapi masa Isyak, ummi terpaksa solat sambil duduk. Lagipula ummi tak dapat nak sujud lama seperti selalu. Dada ummi jadi senak, semput nafas ummi ni sayang....

Anak ummi...

Alhamdulillah...barang-barang baby ummi dan abah dah sediakan semuanya. Kelengkapan baby hampir 90% ada. Abah selalu usik ummi, mana taknya semua barang baby jenama Pureen belaka. Cuma ada beberapa jenama Anakku dan Fiffy :) Insya-Allah hari ni ummi nak pergi cari bakul baju baby dan sembur air. Tak sabar rasanya nak tunggu baby keluar :)

Baby yang ummi dan abah sayang...

Rasanya, setakat ini yang ummi nak coretkan buat tatapan anak ummi. InsyaAllah, bulan hadapan ummi coretkan warkah lain pula. Pastinya lebih meriah kerana kita dah mula berpuasa tu :) Salam sayang peluk cium dari ummi dan abah untuk baby. Jangan nakal-nakal sayang. Assalamu'alaikum


Salam sayang penuh rindu,
Ummu Wafry

07/08/2009
11:18 pagi
Kubang Kerian, Kelantan

No comments:

Post a Comment

Terima kasih. Kami sangat menghargai komen anda (^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...