:: Jom Kita Berkeluarga Hingga Ke Syurga! :: Terima Kasih kerana sudi berkunjung ke Teratak Mawaddah :: Hingga Jumpa Lagi ::

Thursday, June 04, 2009

-sebuah pertemuan-


Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi
*****************************
Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Namun ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki


* * * * * *

Amjad melepaskan pandangan ke arah pantai. Hatinya tenang melihat pantai dan ombak yang berbuih putih. Sesekali ombak mengganas menghempas pantai. Ombak menghempas, namun pantai tetap setia di situ. Maha suciMu Ya Allah.Sesudah Subuh, dia menjejakkan kakinya di pantai. Hendak menikmati keindahan pantai pada waktu pagi. Menikmati keindahan suasana apabila sang mentari mula menghiasi ufuk timur.

Sesekali kakinya menguis pantai. Sejuk angin pagi Pantai Desaru itu mencucuk hingga ke tulang. Dia menghirup udara sepuas-puasnya. Matanya dipejamkan seketika. Dalam keasyikan, muncul seraut wajah yang selalu menghiasi mimpi-mimpinya kebelakangan ini. Wajah itu sudah lama terlukis dalam minda dan hatinya. Mana mungkin wajah itu dilupakan. Hati lelakinya berdebar lantas jantungnya berdegup laju. Sekilat itu, wajah tadi mengundurkan diri. Hilang bersama bayu yang bertiup lembut.

Ya Allah…

Siapakah dia? Aku rindu padanya. Temukanlah aku dengannya jika benar dia Kau ciptakan untukku. Hatinya berbisik perlahan. Siapakah dia? Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh aqalnya saat ini. Namun, semakin lama hatinya menyimpan rindu. Rindu yang sukar ditafsirkan oleh hatinya sendiri. Hanya Dia Yang Mengetahui segalanya. Hatinya kini sudah diisi dengan seraut wajah bujur sirih itu. Lirikan mata serta senyumannya cukup berkesan di hati lelakinya. Ah, Amjad.

* * * * * * * * *


"bila engkau letih dan hilang rasa semangat, Allah tahu betapa kamu telah mencuba sedaya upaya..bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, Allah telah mengira titisan air
matamu..bila engkau rasa ketinggalan, Allah sentiasa di sisimu..bila engkau telah mencuba segala tapi tidak tahu tujuan, Allah ada penyelesaian..bila tiada yang bererti buatmu, keliru dan kecewa, Allah adalah jawapannya"



Assalamualaikum…

Kutujukan warkah ringkas ini, buat insan yang telah Allah ciptakan sebagai Adam, yang Allah ciptakan untuk menjadi teman hidupku kelak…insya-Allah.

Wahai bakal suamiku…
Kudoakan dirimu berbahagia, di samping mendapat hidayah serta petunjukNya, serta berada dalam lindungan dan kasih-sayangNya selalu. Siapa pun jua dirimu, aku pasti engkau telah Allah ciptakan untukku. Di kesempatan ini, aku melakarkan sedikit luahan rasa hatiku untukmu. Entah mengapa, namun aku rasa rindu untuk menulis warkah kepada bakal suamiku. Walau kutahu sedari awal, warkah ini aku tulis untuk aku membacanya sendiri, sebab kala ini aku tidak tahu siapakah insan yang Allah ciptakan untukku. Sekurang-kurangnya, rinduku kepada bakal temanku akan terubat jua kerana di kala ini, aku seolah-olah sedang berbicara dengan dirimu.

Wahai bakal suamiku…
Sudah bersediakah dirimu untuk menggalas amanah yang satu ini? Dirimu bakal menjadi pemimpin kepadaku dan zuriat keturunan kita kelak. Tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahumu, akan menjadi lebih besar. Jika dirimu sudah bersedia, maka segeralah datang kepadaku. Usah dikau persoalkan diriku, kerana aku sudah lama bersedia untuk menjadi pendampingmu. Menjadi suri dalam hatimu.

Tahukah dikau wahai habibi,
sejak aku mula mengerti mengapa Allah ciptakan setiap sesuatu itu berpasangan, maka aku mula memasang impian. Aku impikan seorang teman hidup yang dapat memimpin aku serta zuriat keturunanku menuju ke jalanNya, jalan yang diredhaiNya. Aku impikan akan hadir suatu hari nanti, seorang lelaki yang akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang Allah beri dengan baik. Aku impikan akan hadir seorang lelaki yang akan memimpin tanganku,beriringan dengannya untuk menuju ke taman Firdausi. Aku impikan akan hadir seorang lelaki, yang rindukan syahid di jalanNya..aku impikan…aku impikan…terlalu banyak yang aku impikan. Fitrah bagi setiap insan yang Allah ciptakan, untuk memiliki kesemua yang aku senaraikan sebentar tadi.

Wahai bakal suamiku…
Aku mahu dikau mengerti, aku mahu kau selami perasaanku ini…terlalu banyak impian yang telah aku bina, untuk hidup di samping seorang insan yang akan menjadi teman hidupku. Akan kukongsi impian itu, untuk kita laksanakan bersama. Setiap kali dalam sujud terakhirku, aku sering berdoa agar Dia pertemukan kita, dalam satu pertemuan yang diredhai. Aku berdoa, agar disatukan hatiku dengan hatimu seterusnya akan bertaut dengan cintaNya, kerana di situlah pertemuan kita yang paling bermakna….

* * * * * * * * *
Ajwad keliru tentang perasaannya. Pertama kali mungkin, hatinya terusik dengan pertemuan yang tidak disengajakan petang tadi. Resah memikirkan dirinya yang tidak keruan. Ah, parah. Dalam hening malam itu, dia segera sujud memohon petunjuk dari Ilahi. Seraut wajah telah mencuri hatinya, membawa hatinya pergi dari jasad. Mungkin. Seumur hidupnya, inilah pertama kali Allah cambahkan satu perasaan halus, yang menggetarkan naluri lelakinya terhadap insan yang berlainan jantina. Apakah itu cinta? Benarkah? Puas dia mentafsirkan rasa hati yang tersirat. Oh Tuhan...

"Maafkan saya saudara, saya tidak sengaja," masih segar di ingatannya, suara lembut wanita itu memohon maaf sambil mengutip bukunya yang terjatuh. Saat wanita itu menghulurkan bukunya, dirasakan hatinya telah dicuri tanpa sedar. Masih terbayang raut wajah wanita itu, lembut dan putih bersih. Redup pandangannya menikam jiwa Ajwad. Tahi lalat manis yang terletak di bibir kanan menjadi penyeri. Orang kata, bermulut manis. Ah, memang cukup manis. Indah sungguh ciptaan Ilahi. "Saudara?"

Astaghfirullahal'azim...

Wanita itu segera berlalu tanpa sempat Ajwad mengucapkan terima kasih. Sedikit kesal, kerana terlalu asyik melihat wanita itu. Ya Allah...cuba diusir perasaan yang mengusai diri, namun ia semakin kuat mencengkam jiwanya. Inilah dia panahan jiwa yang sedang dilalui. Sukarnya untuk dikikis perasaan ini. Ah, Ajwad.

* * * * * *
Wahai bakal suamiku…

Aku tahu, aku mengerti masanya akan tiba jua. Alhamdulillah, doaku telah dimakbulkan. Syukur padaMu Ya Allah, yang telah mencampakkan mawaddah dan mahabbah dalam hatiku untukmu. Engkau akan hadir jua satu hari nanti.

Inikah perasaan yang sama dilalui oleh setiap insan yang akan disatukan dengan ikatan yang suci? Ya Allah, manis sekali cinta yang Engkau berikan ini…namun belum tentu aku memilikinya tanpaMu. Tetapkanlah hatiku Ya Allah.

Wahai bakal suamiku…
Telah Allah hantarkan dirimu kepadaku. Aku akan tetap menunggu masanya, saat dirimu akan hadir memimpin tanganku menuju ke jalanNya. Moga rasa kasih dan cinta yang kusimpan ini hanya untukmu, dan akan bersimpuh di bawah cinta dan kasihNya.

Wahai bakal suamiku…
Kala ini, aku masih bersabar menanti kehadiranmu. Kupujuk hatiku yang dilanda keresahan ini. Sungguh, amat payah untukku mengusir rasa kasih dan cinta ini tanpa pertolongan darinya. Wahai habibi, bersamalah kita berdoa agar cinta yang Allah kurniakan kepada kita ini akan merimbun dalam kasihNya…dalam rimbunan keimanan. Berdoalah wahai bakal suamiku…hanya Dia yang Maha Mendengar dan Mengetahui isi hati hamba-hambaNya
..


* * * * * * * * *
Amjad melepaskan keluhan. Tuhanku, inikah dugaan yang terpaksa kutanggung? Inikah ujianMu yang terpaksa aku hadapi? Berat sungguh dugaan ini. Berikanlah aku kekuatan dan ketabahan ya Allah. Jangan Kau buangkan rasa kasih yang mula berputik di hatiku, sebaliknya Kau temukanlah aku dengan pemilik wajah yang selalu muncul menghiasi mimpi-mimpiku ini.

Amjad keresahan di kamar setelah mendengar usul kedua orang tuanya sebentar tadi. Ah, benarkah? Hati lelakinya tidak keruan.

"Along, umi dan abah dah bincang. Kami dah merisik anak kawan abah untuk dijadikan menantu kami. Untuk jadi isteri Along. Sopan budaknya, insya-Allah jadi isteri dan ibu yang baik. Umi dan abah berkenan," Allahu Akbar. Ya Allah, apakah aku harus mengiakan sedangkan hatiku kini sudah kuserahkan kepada seseorang? Seseorang yang telah mencuri hatiku tanpa kusedari.

Mengapa umi dan abah tidak meminta pandanganku dahulu? Merisik perempuan untuk dijadikan isteriku? Di mana hakku? Menyakiti hati umi dan abah bukan niatku. Aku bukanlah anak derhaka selama ini, tapi kini? Ah, betapa payah dan sukarnya ya Allah…Siapakah yang harus kupilih?

* * * * * *
Langkah Ajwad mati di situ. Ajwad menepuk perlahan pipinya, memastikan adakah dia masih di dalam realiti atau fantasi. Kedudukan kopiah dibetulkan. Janggut sejemput diramas seketika. Bingkai cermin matanya ditnggalkan.

Hayunan lemah gemalai dan sopan wanita itu mengetuk pintu hatinya. Diakah? Ya Allah, alhamdulillah. Bertudung litup dan berjubah coklat muda telah menaikkan seri wajah itu. Sesuai dengan warna kulitnya yang kuning langsat.

"Assalamualaikum," salam dihulur lalu dijawab penuh sopan. Wajah di hadapannya sedikit terkejut, namun dimaniskan sedikit wajahnya. "Terima kasih untuk tempohari," ucapnya berbahasa. Mungkin wanita itu mengerti apa yang dimaksudkan oleh Ajwad, lalu mengangguk perlahan. Kelihatan wanita di hadapannya tersipu malu.

Wanita berjubah coklat itu berlalu meninggalkan Ajwad yang masih kaku di situ. Ah, melepas lagi aku! Ajwad, mengapalah kau ni lambat sangat? Ucap terima kasih saja? Aduhai Ajwad, peluang yang ada kau sia-siakan begitu sahaja…

Sesekali tangannya menepuk dahi. Allahu Akbar. Ya Allah..Dipujuk hatinya yang keresahan. Sabar, sabar.

* * * * * *
Wahai bakal suamiku…
Terlalu banyak yang ingin aku bicarakan kala ini. Namun tak terluah rasanya.. Aku terlalu lemah. Kala ini, terlalu banyak dugaan yang aku hadapi. Apakah aku mampu menghadapi semua ini?

Wahai bakal suamiku…
Aku perlukanmu di sisi…Andai engkau tahu apa isi hatiku ini, aku ingin kau turut merasai sama apa yang kurasa kala ini. Aku tidak mampu untuk menghadapi semua ini
seorang diri…bantulah aku. Aku hampir tersungkur dalam mengharungi dugaan hidup ini. Ah, lemahnya aku. Begitu lemah.

Wahai bakal suamiku…
Apakah kau mendengar luahanku ini? Ujian yang datang menimpaku terlalu banyak, hingga adakala aku hampir berputus asa denganNya… Ya Allah, terlalu banyak dosaku kala ini. Aku rasakan diriku semakin jauh dariNya.

Wahai bakal suamiku…
Aku sekadar ingin meluahkan rasa hatiku saat ini, yang sering gundah-gulana. Adakala aku kalah sebelum pertarungan. Ah, lemahnya aku. Layakkah aku mendampingimu?
Aku malu denganmu…apatah lagi aku malu berhadapan denganNya. Setiap kali aku menghadapNya, setiap kali itulah kurasakan lemahnya aku hingga adakala aku tidak mampu mengangkat wajahku ini…Ya Allah…Dia pemilik hati-hati kita…

Lemah lututku berdiri
Di hadapanMu tangisanku keharuan
Hamba yang lemah serta hina
Engkau terima jua mendekati
Bersimpuh di bawah duli kebesaranMu


Wahai bakal suamiku…
Namun, aku redha dengan apa yang berlaku. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Allah menguji setiap hambaNya mengikut kemampuan mereka…aku redha dengan apa yang berlaku. Ini tanda kasih-sayangNya padaku. Mungkin juga sebagai peringatan untuk diriku, yang sering alpa.


* * * * * * * * *
Ya Allah
Seandainya telah Kau catatkan..
Dia akan menjadi teman menapaki hidupku..
Satukanlah hatinya dengan hatiku..
Titipkanlah kebahagiaan di antara kami..
Agar kemesraan itu abadi..
Dan Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih..
Seiringkanlah kami melayari hidup ini..
Ke tepian yang sejahtera dan abadi..
Tetapi Ya Allah..
Seandainya telah Engkau takdirkan..
Dia bukan milikku..
Bawalah ia jauh dari pandanganku..
Luputkanlah ia dari ingatanku..
Ambillah kebahagiaan tika dia ada di sisiku..
Dan peliharalah aku dari kekecewaan..

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti..
Berikanlah aku kekuatan..
Untuk melontar bayangannya jauh ke dada langit..
Hilang bersama senja nan merah..
Agar ku bisa berbahagia walaupun tanpa bersama dengannya..

Dan ya Allah yang tercinta..
Gantikanlah yang telah hilang..
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah..
Walaupun tidak sama dengan dirinya..

Ya Allah ya Tuhanku..
Pasrahkanlah aku dengan takdirMU..
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan..
Adalah yang terbaik buatku..
Kerana Engkau Maha Mengetahui..
Segala yang terbaik buat hambaMU ini..

Ya Allah..
Cukuplah Engkau saja yang menjadi pemeliharaku..
Di dunia dan di akhirat..
Dengarlah rintihan dari hambaMU yang da’if ini..
Jangan Engkau biarkan aku sendirian..
Di dunia ini mahupun di akhirat..
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran..
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman..
Supaya aku dan dia dapat membina kesejahteraan hidup..
Ke jalan yang Engkau redhai..
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh..

Amjad mengusap wajahnya perlahan. Air matanya mengalir menuruni pipinya, lalu membasahi baju melayu yang dipakai. Pertama kali hatinya pedih, menderita. Hanya kerana seorang wanita yang tidak dikenali, yang hanya muncul di dalam mimpi-mimpinya. Wajah yang setia menemaninya hampir setiap malam.
Pertama kali dia jatuh cinta, namun dilukai. Dia yang melukakan hatinya sendiri. Menyintai seseorang tanpa mengenali nama dan pemilik wajah itu. Bodohkah dia? Ya Allah, perancanganMu adalah sebaik-baik perancangan. Aku redha Ya Allah…aku redha.

Bukan tidak pernah mengusir rasa halus yang menyelinap di sudut hati, namun sukar dikikis. Andai bisa ditoreh, akan ditoreh untuk dibuang perasaannya. Namun, rasa cinta yang Allah campakkan saat ini milikNya. Hanya Dia yang bisa membuang rasa halus itu dari hatinya. Biar beribu kali cuba diusir, namun pasti tidak akan terusir tanpa izinNya.

"Umi, abah. Along terima cadangan umi dan abah. Along tahu pilihan umi dan abah yang terbaik," lembut bicara Amjad menyenangkan hati kedua orang tua itu. Alhamdulillah, kata sepakat sudah dicapai. Tarikh pernikahan juga sudah ditentukan. Bermakna lagi dua bulan dia akan memasuki alam rumahtangga. Ya Allah…

Menjadi suami kepada wanita yang tidak dikenali. Menjadi pemimpin dan ketua keluarga. Sudah bersediakah aku? Amjad?

* * * * * *
Ah, jika kuturutkan rasa hati ini, bisa gila aku dibuatnya. Lepaskanlah perasaanmu itu Ajwad. Dia bukan milikmu, dia bukan untukmu. Percayalah. Ah, sukarnya mengikis bayangan itu. Ajwad mengharapkan pertemuan yang ketiga. Namun, perancangan Allah sebaik-baik perancangan. Ajwad, jangan berputus asa. Dia memujuk hatinya sendiri. Pasti Dia mengerti isi hatiku ini.

Ya Allah…kau telah makbulkan doaku. Memang benarlah ya Allah…

Pertemuan ketiga antara Ajwad dan wanita itu berlaku jua dengan izinNya. Ajwad tekad untuk meluahkan perasaan yang semakin hari semakin membukit di hatinya. Chayok Ajwad, chayok! (dari manalah pula datangnya perkataan korea ni?) Ajwad, berusaha! Yakin boleh.
Bismillahirrahmanirrahim... Mengharapkan redha Allah, dia memulakan bicara, menyusun kata, begitu berhati-hati. Hatinya terlalu berharap tanpa sedar wanita di hadapannya mengesat birai mata yang digenangi cecair.
Tatkala wanita itu melangkah pergi, hatinya bak kaca yang hancur berderai. Ya Allah. Aduh! Pedihnya hati ini. Betapa hati ini dilukai, kecewa. Allah…bantulah aku. Sudah diingatkan dirinya sendiri, usah terlalu berharap. Usah dilayan perasaanmu itu Ajwad! Kini, kau terluka….Ajwad!

* * * * * *
Wahai bakal suamiku…
Sudah bersediakah dirimu? Inilah warkah terakhir dariku mungkin, sebelum kita diijbqabulkan. Menghitung hari, aku ibarat pungguk rindukan bulan. Aku ibarat Laila yang merindukan Qaisy. Mungkin juga sedalam rindu Dara kepada Uda.

Wahai bakal suamiku…
Detik itu akan tiba. Dengan izinNya, aku pohon agar ikatan itu nanti kekal selamanya. Aku terima dirimu seadanya, aku harap engkau jua begitu. Aku masih menanti dan tertanya, siapakah dirimu sebenarnya? Insan yang Allah ciptakan untuk menjadi teman hidupku? Sungguh, aku masih belum berkesempatan melihat wajahmu. Umi dan abiku pernah menunjukkan gambarmu, namun aku keberatan untuk melihatnya, walaupun hatiku memberontak dan melonjak-lonjak untuk melihatmu. Hanya namamu yang kukenali.

Aku bukan seperti insan lain. Aku tidak mengharapkan engkau seperti Azhar Sulaiman, atau juga Datuk Khalid, mungkin juga Mawi apatah lagi seperti Tun Mahathir. Aku Cuma mengharapkan engkau adalah lelaki yang Allah ciptakan untuk menemani aku selamanya. Menemani aku untuk pergi kepada Al-Khaliq.
Wahai bakal suamiku…
Cukuplah Allah sebagai pemelihara ikatan kita ini. Warkah terakhir ini kucoretkan ringkas, kerana masih ada banyak masa untuk kita berbicara selepas ini…insyaAllah. Aku pohon restumu, aku pohon kasihmu…bawalah daku menuju jalan Ilahi. Aku sampaikan salam rinduku kepadamu melaluiNya.


* * * * * * * * *

Beri hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik terbaik, hamparkan masamu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan seluruh kehidupanmu sebaiknya.

Allahu Akbar! Ya Allah, betapa Engkau Maha Berkuasa. Aku ini hamba yang kerdil lagi lemah, ampunkanlah segala dosaku. Aku terlanjur, mencintai seseorang yang bukan Engkau ciptakan untukku. Ya Allah, aku malu…aku malu dengan diriku. Bagaimana aku hendak menghadapi semua ini?

Ajwad Fitri…
Telah Allah takdirkan dia bukan milikmu. Telah Allah takdirkan dia bukan untukmu. Wanita itu milik orang lain. Selayaknya lelaki itu yang berhak untuknya. Begitulah kehendak dan suratan yang telah tertulis di Loh Mahfuz. Tenangkanlah hatimu. "Dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang".

Ajwad Fitri…
Betapa sukarnya untukku menerima hakikat ini. Sukar ya Allah. Aku mencintainya, aku ingin jadikan dia suri dalam hidupku. Namun, ini takdirnya. Aku diuji dengan kehilangan kasihnya, orang yang aku sayang dalam diam. Namun, dia sebenarnya masih belum "hilang" dari hidupku. Dia ada dekat denganku. Hakikatnya…begitulah.

* * * * * *
Wahai suamiku…
Terima kasih untuk segalanya. Menerima aku sebagai isterimu…menerima aku sebagai teman hidupmu…menerima aku seadanya. Memang telah tertulis di Loh Mahfuz…jua perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

Wahai suamiku…
Kini engkau telah menjadi suamiku. Aku benar-benar merasa gembira. Inilah anugerah yang berharga yang telah dikurniakan kepadaku. Rupanya, selama ini aku begitu dekat denganmu. Aku begitu hampir denganmu. Tidak kusangka, engkaulah insan yang Allah ciptakan untukku.

Wahai suamiku, sehari bersamamu…sudah cukup untukku merasa kasih-sayangmu. Engkau sebaik-baik suami, melayanku dengan baik. Cukuplah sehari sahaja aku merasai kasih-sayang yang kau curahkan.

Wahai suamiku…
Ah, lebih elok rasanya aku membahasakan diriku "Aufa"…
Abang… Aufa benar-benar berterima-kasih kepadaNya kerana mengurniakan lelaki sebaik abang untuk dijadikan teman hidup. Penantian Aufa telah berakhir. Abang telah memimpin tangan Aufa…mendampingi Aufa…mengasihi Aufa…menerima segala kelebihan dan kekurangan Aufa seadanya. Terima kasih abang.

Wahai suamiku yang kukasihi…
Ingatlah, perancangan Allah sebaik-baik perancangan. Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita merancang, Dia juga merancang. Namun, perancangannya sebaik-baik perancangan. Aufa tidak memilih untuk berakhir begini, namun inilah kesudahannya.

Abang,…
Masih ingatkah dengan impian-impian Aufa? Setelah kita diijabqabulkan, barulah Aufa berani dan Aufa bersedia untuk menyerahkan semua surat yang Aufa coretkan untuk abang. Untuk lelaki yang Allah ciptakan sebagai teman hidup Aufa. Abang, maafkan Aufa kerana tidak berterus-terang dengan abang selama ini….

Kala ini, Aufa semakin jauh dengan abang. Kita terpisah, namun Aufa harap, perpisahan kita ini biarlah perpisahan di dalam redhaNya. Aufa pergi meninggalkan abang…bukan bermakna abang keseorangan. Abang masih ada Dia. Dia yang sentiasa ada bersama abang setiap masa. Dia yang tidak pernah leka menjaga abang, memelihara abang.

Sudah lama Aufa menderita menanggung kesakitan. Umi mahupun abi juga tidak pernah tahu penyakit yang Aufa tanggung sekarang ini. Bukan Aufa membelakangkan umi dan abi. Namun, siapa yang sanggup melihat air mata umi dan abi apabila mendapat tahu mereka akan kehilangan anak? Satu-satunya anak tunggal, permata umi dan abi… Abang, sakit barah rahim Aufa pada tahap kritikal. Inilah dia, yang menyebabkan Aufa terpaksa meninggalkan abang.

Mungkin jua telah Allah takdirkan, Aufa dan abang tidak akan bersatu di dunia, tapi di akhirat mungkin? Atau, Allah tahu bahawa Aufa tidak dapat menjadi suri hati yang baik untuk abang, sebab itu Dia mengambil Aufa terlebih dahulu. Atau, Dia memang sayangkan Aufa lebih daripada abang. Maafkan Aufa abang, kerana tidak dapat menjadi suri hati abang, dan bersama menggapai impian yang Aufa pernah ceritakan pada abang dahulu.

Wahai suamiku…
Usahlah ditangisi pemergianku…simpanlah air matamu untukNya. Hanya Dia yang layak…Buat akhirnya, terima kasih sekali lagi kerana menerima Aufa, insan yang kerdil dan hina ini. Abang, tolong jaga umi dan abi dengan baik, hanya umi dan abi yang Aufa tinggalkan untuk abang. Salam sayang untuk abang, bersaksikan Allah…Aufa tetap merindui abang. Allahu A'lam

Insan kerdil menuju Ilahi,
Aufa Qistina bt Sufyan


* * * * * *
Ya Allah, segala pemberianMu yang kusayangi, jadikanlah ia kekuatan bagiku untuk mencintaiMu…segala yang Kau pisahkan dariku sedangkan ia sangat kusayangi, jadikan ia ruang untuk cintaMu dalam diriku.

Air mata lelakinya mengalir menuruni pipi. Allahu Akbar. Aufa isteriku. Suri Hatiku. Permata hatiku. Bidadari hatiku.

Amjad Fitri…
Telah Allah catatkan. Dia milikmu untuk seketika. Dia Allah ciptakan untukmu, Dia pinjamkan Aufa untukmu…hanya seketika. Dia ingin mencari kebahagiaan sebelum berangkat menuju kekasih yang dicintai sekian lama. Aufa…

Amjad mencium dahi Aufa yang sejuk. Jasad itu kaku di perbaringan. Aufa, isterinya meninggalkannya untuk menuju Ilahi. Dia keseorangan. Aufa!!!

Allah memang Maha Berkuasa. Itulah Aufa, wanita yang kerap menghiasi mimpi-mimpinya, menemani lenanya hampir setiap malam. Aufa, wanita yang telah mencuri hatinya sekian lama. Ya Allah, Engkau memang Maha Mendengar dan Mengetahui isi hatiku ini.

Amjad Fitri…
Belum puas dia merasai kasih-sayang Aufa. Belum puas dia merasai keenakan masakan Aufa, walau hanya nasi goreng belacan yang disediakan lewat pagi itu. Belum puas dia menatapi wajah bujur sirih itu, yang dihiasi tahi lalat di bibir kanan sebagai penyeri. Belum puas dia mendengar Aufa memanggilnya "abang". Ah. Semuanya belum lagi…Aufa.

Hanya dua hari mereka mengecap kebahagiaan…bergelar suami isteri. Hanya dua hari. Aufa…telah ditakdirkan pergi meninggalkannya. Meninggalkan insan-insan yang menyayanginya. Seakan tidak percaya, Aufa meninggalkannya…
Ya Allah…aku redha dengan kehilangannya. Aku redha dengan pemergiannya. Namun satu pintaku, temukanlah aku dengan Aufa Qistina bt Sufyan, jadikan dia bidadari hatiku di sana kelak.

* * * * * * * * *
Amjad Fitri…Ajwad Fitri…
Kembar seiras, yang Allah campakkan rasa cinta terhadap wanita yang sama. Mereka jatuh cinta, namun Allah takdirkan segalanya. Aufa Qistina, bukanlah milik mereka, namun milikNya. Allah takdirkan Aufa Qistina untuk jadi suri hati Amjad Fitri untuk seketika. Hanya seketika. Allah uji hati Ajwad Fitri dengan kehilangan Aufa Qistina yang tidak ditakdirkan untuknya.

Aufa Qistina :
" Aku musafir, berkelana di dunia ini untuk mencari redha Ilahi. Aku musafir, mengembara mencari cinta hakiki. Aku musafir, yang dahagakan kasihNya. Aku ingin menggapai maghfirahNya…sebelum ke titian sirat.
Terima kasih Tuhan, memberikan aku Amjad Fitri walau untuk seketika"

Amjad Fitri :
"Akan kubina impian yang sama sepertimu Aufa. Akan kutunaikan impianmu yang belum terlaksana. Aku berterima kasih kepadaNya kerana telah menyatukan kita. Engkau sebenarnya sudah lama menemani aku, menghiasi dan memenuhi ruang hatiku.
Engkau istimewa dalam hatiku Aufa"

Ajwad Fitri :
"Aku redha dengan apa yang berlaku. Dia memang layak untukmu Aufa. Abangku selayaknya untukmu. Maafkan diriku kerana menyintaimu di dalam diam. Namun, rasa kasih ini datang dariNya, dipinjamkan seketika untukku.
Benarlah, kau memang istimewa, insan yang hadir dalam hidup kami"

- shut down -
kembarahati
(Saida Marlina Mohd Mohtar)
02.05 p.m
17 Muharram 1428H

1 comment:

  1. wah, karya yang menarik hati saya. Teruskan berkarya kak.

    Bila nak buat sambungan kisah 3W? WAFI, WAFA dan WAJDI?? Saya tak sabar nak baca kesinambungan kisah hidup mereka, terutama Ustaz Wajdi...pasni bolehlah kak jadi penulis novel pula :) hehehe

    ReplyDelete

Terima kasih. Kami sangat menghargai komen anda (^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...