:: Jom Kita Berkeluarga Hingga Ke Syurga! :: Terima Kasih kerana sudi berkunjung ke Teratak Mawaddah :: Hingga Jumpa Lagi ::

Monday, June 15, 2009

- sebu@h peng@khir@n -



Bisikan itu…
Masih kudengari…
Kalimah suci…
Menggamit hati nurani..
Bisikan itu…
Terasa semalam..
Berlalu dibawa bayu…
Melintas sepintas lalu
Bisikan itu…
Masih kuingati…
Kerana kutahu ia akan kembali…
Menggamit diriku
Menemui Ilahi…
Lailahaillallah
Bisikan itu…
Makin terasa kehadirannya…
Sedetik…dua detik…tiga
Lailahaillallah
Ya Allah…
Aku menghadapMu…
Kembali kepadaMu…
Terimalah diriku…
Lailahaillallah

**********************************************
Ya Rahman…
Ampunilah dosa hambaMu ini…
Hamba yang sering lalai terhadapMu…
Aku insan lemah…
Tidak punya kekuatan…
Hanya padaMu aku sandarkan segalanya….
Ya Rahim…
Aku kecundang dalam meraih cintaMu…
Kuharap keampunanMu…
Dalam membaluti dosa-dosaku yang lalu…
Terimalah diriku ini…..
Lailahaillallah…

* * * * * * * *
Rintik-rintik hujan jelas kedengaran. Sejuk angin pagi terasa hingga mencengkam tulang. Cuaca pada pagi itu tidak seperti hari-hari kelmarin. Pagi itu, bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa bertukar rentak. Angin kencang yang bertiup dari arah Selatan melanda Kampung Harapan. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai ditiup angin. Deruan ombak sesekali menghempas pantai lantas bergelora dipukul badai. Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi Harapan yang sudah sebulan kering-kontang. Seolah-olah memberi satu petanda baru bagi mereka.

Namun, keadaan itu tidak memberi apa-apa makna kepada penghuni sebuah rumah usang di hujung kampung tersebut. Hari-hari yang dilalui selama ini sama sahaja. Hidupnya hanya bertemankan sepi. Baginya, makan, tidur dan beribadah sahajalah rutin hariannya selama ini. Tiada apa yang diharapkan dalam hidup ini.

"Koh…koh…koh" jelas kedengaran batuk perit dari ruang tamu. Batuk itu milik seorang ibu tua. Sesekali kedengaran keluh-kesahnya. "Ya Allah, sakitnya. Ya Allah, aku tidak tahan menghadapi dugaan-Mu ini, Kau ambillah nyawaku ini," adu ibu itu. Matanya terkebil-kebil merenung atap rumbia. Gelap. "Ira,"panggil ibu itu perlahan. Senyap. "Ira,"panggilnya lagi. Tangannya meraba-raba sekeliling. "Ira," dikeraskan suaranya sambil tangannya menyentuh bahu seseorang. Setelah yakin itu anaknya, digoncangkan bahu anak remaja itu.

"Mak," terpisat-pisat anak itu bangun. Ditenyeh-tenyeh matanya seketika. "Ira, Subuh dah masuk nak?" tanya ibu tua itu. Anaknya yang dipanggil Ira memandang jam di dinding lantas menggelengkan kepala beberapa kali. Dia menguap seketika. Melihatkan ibunya terkebil-kebil, dia tersedar seketika. "Belum mak. Lambat lagi Subuh masuk," anak itu segera bangkit lantas mengambil pelita ayan lalu diletakkan berhampiran pintu.

"Mak tidurlah dulu. Masih awal lagi. Kalau Subuh dah masuk, Ira kejutkan mak," Ira menarik gebar lusuh lalu menyelimutkan badan wanita tua itu. Dia mencapai tangan kasar wanita itu lalu diramasnya lembut. Diciumnya telapak tangan itu beberapa kali. Sesekali dia memicit-micit kaki wanita itu tanpa dipinta. Senang sekali dia membuatnya.

Namun tangannya terhenti apabila mendengar perkataan dari mulut wanita itu. Didekatkan telinganya. "Zahra." Dia tersentak. Betulkah? "Zahra," perlahan dan lemah suara itu namun cukup jelas namanya di telinga Ira. "Zahra…Zahra…"

Hati Ira pilu. Mengapa harus diulang kisah silam itu? Kisah yang hanya mencarik luka hatinya? Kisah yang hanya menambah pedih di jiwanya? Kisah silam itu hingga kini masih belum terungkai. Lipatan sejarah lalu tidak mahu dibongkar semula. Biarlah ia berkubur bersama berlalunya bayangan semalam. Siapa?


* * * * * * *

"Kau binatang. Binatang! Kau kejam, aku benci kau binatang!" dia terduduk lemah. Bahunya terhincut-hincut menahan tangis. Hatinya sakit, pedih, pilu. Lelaki yang dipanggil binatang itu hanya memandangnya. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Sedikit pun dia tidak terasa dengan kata-kata yang baru dilemparkan kepadanya. Tidak punya hatikah dia?

"Kau panggil aku apa? Tak dengarlah. Binatang ye?" lelaki itu menghampiri wanita yang sedang menangis di kaki pintu. "Kalau aku binatang, kau apa kurangnya? Aku binatang, kau tu…isteri binatang!" katanya lantang sambil jarinya menunjal-nunjal kepala wanita itu. Wanita itu menepis tangan suaminya. Jijik dirasakan apabila tangan suaminya menyentuh kepala. Air matanya merembes keluar. "Aku benci kau!"jeritnya lagi. Dipandangnya lelaki yang dinikahi lebih kurang tiga bulan lalu.

Lelaki itu rakus meneguk air kuning yang memabukkan itu. Sesekali dia ketawa besar. Habis sebotol, dicapainya sebotol lagi. Argh!! Baginya meneguk air syaitan itu merupakan satu nikmat dalam dirinya. Itulah “syurga”nya…meneguk minuman itu sudah menjadi rutin hariannya selama ini.

"Abang, I balik dulu okey?" wanita itu tersentak. Seorang wanita genit muncul sambil memeluk bahu suaminya. Hatinya mendidih marah. Matanya bulat memandang wanita yang baru muncul itu dan bersedia untuk menerkamnya. "Perempuan sial! Jaga kau! Perampas suami orang," dia bangun untuk menerkam perempuan itu namun langkahnya terbatas. Dirasakan pergelangan tangannya sakit. Perit.

"Zerra, kau jangan nak apa-apakan dia. Nahas kau aku kerjakan!" gertak suaminya. "Lepaskan aku. Perempuan tak guna. Apa kau buat kat rumah aku?!"dia meronta-ronta minta dilepaskan. Namun cengkaman suaminya amat kuat. Dia menjerit-jerit seperti diserang histeria. Tiba-tiba matanya berpinar. Pipinya perit. Cecair hangat mengalir dari celah bibir. Darah? Hatinya semakin sakit tatkala melihat senyuman sinis pesaingnya. "Bye Zerra,". Suaranya tersekat di kerongkong. Air matanya berjujuran membasahi pipi yang masih merah. Hatinya digigit pilu.

Di manakah aku sekarang? Bukankah dahulu aku yang selalu dia agungkan? Aku selalu yang dipujanya? Terasa diriku umpama sampah di longgokan. Terlalu jijik bagi dirinya. Tidak lagi sebutir permata yang dipujanya satu tika dulu. Terlalu murah harga diriku ini.

Dia sendiri tidak betah hidup dalam dunianya ini. Suami yang seolah bukan suami. Dirinya sering diabaikan. Ah, mengapa aku boleh terjerumus ke lembah hina ini? Dunia yang jijik..kotor…argh!!!

"Mak," terpacul perkataan itu dari bibir pucatnya. "Mak,"hatinya semakin sayu. “Mak…”.


* * * * * * *

Ira tersentak. Matanya memandang tubuh ibu tua itu. "Mak," panggilnya perlahan. Ibu tua itu diam kaku. "Mak," panggilnya lagi. Diam. Ira cemas melihat ibu tua itu. Digenggamnya tangan ibu tua itu, lama. Senyum terukir di bibir mongel itu tatkala ibu itu mengensotkan badannya.

"Mak, Ira sayangkan mak," tanpa dapat ditahan, air matanya merembes keluar dari empangan. Dia memeluk erat ibu tua itu seakan tidak mahu dilepaskan. Diluahkan perasaannya terhadap ibu tua itu. “Ira benar-benar sayangkan mak, lebih dari mak menyayangi Ira,”.

Hati ibu tua itu tersentuh. "Mak pun sayangkan Ra. Mak sayangkan Ra," namun kata-kata itu hanya mampu diucapkan oleh hatinya. Mulutnya seakan terkunci. Dia tidak mampu menangis lagi. Wajah anak itu tidak mampu ditatapnya lagi. Dunianya gelap kini. Kasih anak itu telah menyentuh naluri keibuannya. Betapa selama ini, itulah yang sering dia harapkan. Itulah jua impiannya.

Dia punya seorang anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan suaminya. Walaupun miskin, mereka hidup bahagia. Hari-hari yang dilalui bersama suami dan anak telah melakarkan satu lukisan yang indah. Hidupnya ceria.
“Mak, dah besar nanti Ra nak jaga mak dan ayah. Ra nak cari kerja yang bergaji besar, biar hidup kita senang. Ra nak bawa mak dan ayah ke Mekah,” senyum anak kecil itu. Hatinya sejuk mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari mulut anak kecil itu.

Namun, setiap apa yang berlaku telah ditakdirkan Allah. Suaminya menyahut panggilan Ilahi tatkala Syawal menjelma. Ah, terlalu awal dia pergi. Dialah yang memikul tanggungjawab membesarkan anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun. Pada anak itulah dicurahkan kasih-sayang yang tidak berbelah-bahagi. Satu-satunya zuriat yang ditinggalkan oleh arwah suaminya.

Anak yang diharap tempat untuk bermanja tatkala usia menginjak senja pula telah merobek kebahagiaan yang dikecapi selama ini. Mengapa?

"Mak, Ra pergi tak lama. Sekejap sahaja. Mak tunggu Ra, nanti Ra datang bawa mak ke Kuala Lumpur. Ra janji akan kembali," itulah janji anaknya. Ibu tua itu menanti hari demi hari. Dia yakin anak itu akan kembali menemuinya. Sudah lama dia menanggung rindu. Rindu pada anak itu. "Ra," suaranya perlahan. "Ra," panggilnya lagi.

"Ya mak, Ra ni. Ada apa?" tanya Ira lembut. Tangannya tidak lepas dari mengusap kepala ibu tua itu. "Ra, mak nak berwuduk. Sekejap lagi dah masuk waktu Subuh," terketar-ketar ibu tua itu bersuara. Payah benar rasanya.

“Ra," suara ibu tua itu seakan tenggelam. Hati Ira digigit pilu. "Ra," lemah suaranya. Ira bangkit memapah ibu tua itu ke bilik air. Ditenung wajah ibunya. Pada kelembutan seraut senyuman dan pada kelunakan tutur perkataan, di situ ada terlukis warna kerinduan.

* * * * * * *

"Mak!" dia tersentak. Dadanya berdebar. Jantungnya berdegup laju. Seperti baru mengalami satu mimpi ngeri. "Ah, macam mana aku boleh tertidur?" desis hati kecilnya. Tangannya lantas memutar punat radio.

Jelas kedengaran suara Imam Masjid Madinah mengalunkan kalam suci Allah. Entah mengapa dia kaku. Sudah lama dia tidak mendengar bacaan ayat suci Al-Quran. Ah, di rumahnya pun tiada kitab Allah itu. Cuma yang dia pasti hanyalah sebuah kitab kecil yang mengandungi surah Yaasin yang dihadiahkan oleh jiran sebelahnya.

Suara imam itu bagaikan magnet yang menarik hatinya agar menyusuri kata-kata Allah. Ah, entah-entah dia sendiri sudah lupa akan hukum tajwid dan tarannum yang diajar oleh ayah. Ah, akukah itu? Terasa satu perasaan aneh mengalir dalam dirinya.
ang sebaik-baiknya, dan bertasbihlah kamu memujinya pada waktu pagi dan petang.” –Astaghfirullahalazim…Ya Allah. Akukah ini? Hatinya bergetar hebat. Kalam Allah menusuk tangkai hatinya. Mana perginya segala ilmuku? Aku tidak mengamalkannya.

“Ayah ni bukan orang yang pandai. Tak bergaji besar macam orang lain, macam pegawai kerajaan. Ayah cuma seorang petani miskin. Ingatlah nak, usia kita kat dunia ni cuma sekejap. Entah bila nyawa kita akan diambil balik oleh Allah. Selagi kita masih bernyawa, carilah ilmu sebanyak mungkin. Ilmu itu adalah cahaya,” masih terngiang di telinganya pesan arwah ayah.

“Ingat tak sabda nabi yang mengatakan, menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan? Carilah ilmu yang bermanfaat, yang dapat membawa kita ke jalan kebenaran,” pesan ayah lembut, namun menusuk tangkai hati.

Tiba-tiba dia terasa ada satu tendangan halus dari dalam perutnya. "Aduh," perlahan dia mengaduh. Tangannya pantas mengusap lembut perut yang semakin menonjol itu. Lebih kurang empat bulan lagi akan bertambah bilangan penduduk di muka bumi ini. Dia sudah tidak sabar menanti hari itu. Pasti suaminya gembira.

Suami? Layakkah lelaki itu dipanggil suami? Dia loya tiba-tiba. Jijik dia mendengar nama lelaki itu. Tak, dia tak layak dipanggil suami. Kalau bukan kerana janin yang ada dalam kandungannya itu, pasti lelaki itu tidak akan menikahinya setelah dipaksa. Ah, aku sendiri nikah di Golok…..

"Maafkan mak sayang. Maafkan mak," perlahan dia berkata seolah-olah anak itu ada dipangkuannya. Dia tekad, walau apa pun yang berlaku, dia akan membesarkan anak yang tidak berdosa itu. Dia tidak mahu anak itu mengalami nasib seperti dirinya. Dia tekad.

Biarlah dia dihina, dicaci, disisih oleh masyarakat, namun dia pasti ada insan lain yang akan menerimanya. "Mak," matanya yang sememangnya sembab mula berkaca. "Mak," panggilnya lagi.

* * * * * * *


Allahu akbar…allahu akbar…
Allahu akbar…Allahu akbar…


* * * * * *
sewaktu azan mendayu-dayu
Ibuku pergi meninggalkanku
Perginya takkan kembali lagi
Kerana takdir telah menentukan


"Mak," Ira memanggil ibunya lagi. Tangannya pantas membuka ikatan telekung yang tersarung di tubuhnya. Dia baru usai menunaikan solat sunat hajat. "Mak, Subuh dah masuk. Bangun mak" dirapati ibunya yang sedang nyenyak itu. Dia tersenyum lega. Hatinya tenang. Ibu tua itu seakan-akan tersenyum dalam lenanya.

Dia akui, ibu tua itu seringkali sujud di hamparan sejadah berjam lamanya tika insan lain masih diulit mimpi. Seringkali dia terdengar munajat dan doa pengharapan disusuli esak tangis ibunya. Dia sendiri dapat merasakan kenikmatan berbicara dengan Al-Khaliq setelah beberapa kali turut menemani ibunya bangun malam. Masanya juga banyak dihabiskan dengan zikrullah. Hatinya turut tenang.

“Ingatlah dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang” –Ar-Ra’d

"Mak," dia menggoncang lembut bahu ibunya. Senyap. “Mak bangunlah,” panggilnya lagi. Dia hairan berbaur cemas. "Mak," matanya tertancap pada dada si ibu. Tiada gelombang. Pantas diraih tangan ibu itu lalu diperiksa denyutan nadinya. Matanya mula berkaca. Benarlah tekaannya. "Mak," jeritnya pilu. "Innalillahi wa inna ilaihi raajiunn," Ira menyembamkan wajahnya ke tubuh kaku itu.

Doa restu kuutuskan untukmu ibu
Semoga diri ibu bahagia
Di akhirat yang kekal abadi


Di luar, sebuah kereta Kancil meluncur deras memasuki halaman rumah. Tetamu yang tidak diundang, datang tepat pada masanya. Seolah-olah tahu akan pemergian ibu tua itu. Berat kakinya melangkah keluar sambil menjinjing beg di tangan. Senyap sunyi Subuh itu. Cuma kelihatan cahaya samara-samar di beranda rumah.

"Assalamualaikum," perlahan tetamu itu memberi salam. “Assalamualaikum,” salam kedua dihulur lagi. Dikuatkan sedikit suaranya. "Waalaikumussalam," jawab tuan rumah lalu dibuka luas pintu utama yang sudah usang itu.

Ya Allah! Masing-masing diam tanpa kata, seolah-olah kedua-duanya bisu. Mata kedua-duanya bulat merenung diri masing-masing. Tetamu itu berwajah hairan, manakala tuan rumah pula seolah-olah baru melihat sesuatu yang menakutkan. Ah, mengapa mesti kau? Kau?

Tetamu tanpa diundang itu masuk tanpa kata. Matanya liar memerhati sekeliling ruang tamu. Seketika, mata sepet itu terpaku pada sekujur tubuh yang ditutupi kain putih. Bibirnya terketar-ketar ingin menyatakan sesuatu. "Tak mungkin," katanya perlahan. Dia merapati tubuh kaku itu. Tanpa ragu-ragu, dia membuka kain itu. Wajahnya pucat. Dirasakan denyutan jantungnya seakan-akan berhenti. Wajah tua itu seolah tersenyum memandangnya. Wajah tua itu…

"Mak," bersusah-payah dia menuturkan perkataan itu. "Mak…mak," diusap wajah tua di hadapannya. "Mak, maafkan Ra mak. Maafkan Ra," dia mencium wajah tua itu berkali-kali. "Maafkan Ra, Ra berdosa pada mak. Mak, jangan tinggalkan Ra," jeritnya bagai diserang histeria.

Dia tersentak apabila bahunya disentuh. "Ira,mak aku. Mak aku Ira," Ira hanya mengangguk perlahan. Diraih tetamu itu. Ah, bukan tetamu. Perempuan yang dianggap tetamu itu ialah Zahra. Zahra, nama yang sering meniti di bibir ibu angkatnya itu. Zahra kini sudah kembali. Benarlah kata ibu tua itu, Zahra akan kembali satu hari nanti. Zahra benar-benar kembali kini. Namun, dia kembali setelah ibu tua itu menemui Ilahi. Seorang ibu tidak sempat menemui anaknya, manakala seorang cucu pula tidak mungkin akan bertemu neneknya.

“tiap-tiap diri akan merasai mati dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan” –Al-anbiya’ 35


Zahra kaku di situ. Jantungnya bergerak pantas. Seakan-akan ada satu suara berbisik di telinganya…Zahra…


Bisikan itu…
Masih kudengari…
Kalimah suci…
Menggamit hati nurani..
Bisikan itu…
Terasa semalam..
Berlalu dibawa bayu…
Melintas sepintas lalu
Bisikan itu…
Masih kuingati…
Kerana kutahu ia akan kembali…
Menggamit diriku
Menemui Ilahi…
Lailahaillallah
Bisikan itu…
Makin terasa kehadirannya…
Sedetik…dua detik…tiga
Lailahaillallah
Ya Allah…
Aku menghadapMu…
Kembali kepadaMu…
Terimalah diriku…
Lailahaillallah

* * * * * *

Mak…
Terlalu banyak yang ingin Ra bicarakan kala ini…
Namun mengapa lidah Ra kelu?
Mak…
Ketahuilah mak…Ra terlalu menyayangi mak..malah lebih dari mak menyayangi Ra…Ra takut untuk berpisah dengan mak….Takut mak.
mak…
Ra telah mengecewakan mak selama ni…Ra bukanlah anak yang baik untuk mak dan ayah…Ra banyak sakitkan hati mak…Ra berdosa mak…Ra berdosa…
Ra tahu…mak mahukan yang terbaik untuk Ra…tapi…Ra terlalu menurut kata nafsu…
Layakkah Ra menjadi permata kebanggaan mak dan ayah?
mak…sempatkah Ra melafazkan kata maaf? Sempatkah mak?

1 comment:

  1. ish..tak patut anak dia buat macam ni! kesian kat mak yang dah melahirkan dan membesarkan dia tu.

    Apepun, suka baca karya ni. teruskan usaha

    -insan kerdil-

    ReplyDelete

Terima kasih. Kami sangat menghargai komen anda (^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...